GAS PELACUR, AIR KIMIA DAN MASJID
Awan langit yang semalam megah, cerah dengan sinar terang hari ini muram. Manik-manik halus titis air turun menyilang, di sebalik redupnya cahaya matahari yang segan. Angin bertiup senang, memandu suasana menjadi nyaman dan segar. Sesungguhnya, hari ini bukan hari biasa. Hari ini bukan calang-calang hari!
Di Central Market, polis berpakaian lengkap berada di mana-mana. Menyusuri pintu masuk hadapan Pasar Seni itu, Husin berpapas-papasan dengan anggota polis yang berjumlah sekitar 6 ke 8 orang semuanya. Niat untuk mengeluarkan duit di Bank Simpanan Nasional meleset apabila Mesin ATM yang tersedia hanya menyediakan bank seperti Maybank dan CIMb sahaja. Berpusing ke belakang, sekalio lagi Husin melihat anggota polis di mana-mana. Husin pantas mengambil pintu tepi yang berhadapan dengan restoran KFC dan menuju laju ke dalam sebuah restoran mamak di sebelah gedung farmasi Watsons, sederet dengan restoran KFC terbabit.
Sewaktu melahap rojak berselang teh tarik, mata Husin menyeluruhi suasana restoran mamak tersebut. Beberapa lelaki dengan pakaian putih dan merah di mana-mana. Di luar, kelihatan trak polis dengan anggota bertopi merah berkumpul di hujung satu sudut jalan. Lelaki-lelaki berbaju putih tersebut masing-masing tersenyum kepada Husin, yang juga berbaju putih. Jam menunjukkan angka 12 dengan jarum panjangnya mencecah angka 35. Husin perhati teh tarik yang tinggal separuh itu puas-puas, sebelum meneguknya sekalii gus kemudiannya.
Selesai membayar, Husin memerhati menara Masjid Negara dari hadapan kedai mamak tersebut. Mencongan-congak jalan yang bakal ditempuhnya, Husin mengekori dari jauh lelaki-lelaki tadi yang bergerak ke hadapan Pejabat Pos Malaysia. Sambil membetulkan sandang begnya, Husin meneliti mesej-mesej yang keluar dari peti telefon bimbitnya. Dari jauh kelihatan lelaki-lelaki tadi menaiki tangga menghadap Pejabat Pos Besar tersebut dan hilang. Di sekeliling, di mana-mana, Husin melihat mata-mata sedang memerhatikannya.
Husin melihat sekali lagi menara Masjid Negara yang terlindung di sebalik tembok besar bangunan Pejabat Pos tersebut. Kakinya dihayun menuju tangga naik menghadap bangunan Pejabat Pos dan terus melalui lorong bawah bangunan tersebut untuk melepasi tembok besar yang akan menghadap Masjid Negara. Husin kini berhadapan dengan Masjid Negara, di seberang jalan kelihatan lautan putih manusia sudah mulai memenuhi perkarangan masjid. Husin mengangkat tangannya untuk meneliti waktu, 12.55 tengah hari.
Perkarangan Masjid Negara yang penuh dengan manusia putih di tengah-tengah terik cuaca tengah hari adalah sesuatu yang pelik. Ini kerana bahang matahari tidak sedikitpun memudarkan semangat manusia-manusia putih ini. Memang benar hari ini hari keramat. Hari ini matahari takut untuk memancar garang. Hari ini matahari berselindung di sebalik redup awan tebal yang sesekali mengelilingi atap masjid dari atas.
Manusia putih yang datang pada hari keramat ini sungguh luar biasa auranya. Kanak kecil, remaja, lelaki, perempuan, tua dan muda, semuanya bergabung dan berada di mana-mana untuk memenuhi segenap ruang dan kawasan masjid. Kelihatan di suatu sudut makcik-makcik perempuan tua menumpang teduh di sebalik dedaun pepohon. Kelihatan anak-anak kecil berlari-larian, ibu-ibu menarik tangan anaknya, sang ayah mencari tempat berehat untuk seisi keluarga.
Di sebalik semua itu, kelihatan di tenga-tengah pintu masuk ke dalam masjid, di tangga hadapan sosok-sosok hebat pejuang sedang dikerumuni oleh pihak media. Sosok-sosk tersebut, sesetengahnya berjanggut pituh, kelihatan tua dan renta, tetapi masih gagah untuk berdiri dan berjalan pada hari ini. Sebab itulah matahari pada hari ini, segan untuk memancar terik. Matahari pun segan kepada sosok hebat pejuang veteran tersebut!
Selesai solat Zohor, perkarangan masjid mula dilimpahi manusia, buih gelombang putih mula memancar jauh ke langit ketujuh di samping iringan helikopter yang berpusing-pusing memerhati dari atas bagaikan langau. Kali ini semangat bukan lagi seperti tadi. Husin merakam kembali waktu ini, jam di tangannya menunjukkan waktu tepat 1.55 petang. Lautan manusia putih di perkaranga mesjid tidak lagi dapat menampung isipadu yang semakin ghairah dan hebat itu.
Dari perkarangan atas masjid, jelas kelihatan dari anak mata Husin frekuensi rakyat yang semakin melimpah itu kini sedang merempuh halangan kecil polis di pintu masjid. Kelihatan jelas polis bertopi merah itu bukan lawan sebenar rakyat. Dalam masa kurang 30 saat sahaja benteng rapuh helmet merah tersebut ditumbangkan rakyat. Serentak, laungan mengajak rakyat yang tersisa menyaksikan peristiwa rempuhan tersebut untuk segera bersama merakyat, turun ke jalan, mencemar duli diri sebagai rakyat dan bersama berjuang dilaung-laung! Husin teruja, lantas segera turun dan menyarung sarung kakimya.
Pantas sahaja jalan di hadapan Masjid Negara dipenuhi rakyat yang sedang menuju aman kepada ketua negeri, ketua negara, ketua bangsa, ketua agama dan ketua bahasanya sendiri! Rakyat-rakyat yang sanggup mencemar duli ini sungguh ramai, kini sedang berpadu dengan kumpulan rakyat lain yang baru sahaja sampaui dari Sogo dan juga dari Pasa seni! Keseluruhannya kini sahaja sudah mencecah berpuluh-puluh ribu! Bayangkan, rakyat yang sanggup turun ke tanah, jalan raya, mencemar duli masing-masing, kini sedang memenuhi segenap jalan dari Masjid Negara ke Istana Negara berjumlah beratus ribu semuanya! Siapakah yang memaksa rakyat untuk turun beramai-ramai ini?
husin pantas berlari, mengejar gerombolan rakyat putih, rakyat suci, yang secara aman sedang bergerak untuk menyerahkan suara hati kepada ketuanya, yang selama ini dinafikan hak mereka untuk bersuara. Husin melompat melepasi tembok pembahagi jalan, dan mula berpadu dengan kuasa rakyat yang tidak lagi dapat dibendung oleh pihak polis kini. Husin mencari-cari anggota polis di sekelilingnya, tetapi gagal. Tiada anggota polis disekeliling kuasa rakyat kini.
Di sepanjang jalan tersebut, di sepanjang perjalanan rakyat putih suci yang bersama-sama mula berjalan perlahan-lahan menuju Istana Negara. Tiada provokasi, tiada cacian dan makian, tiada siapa pun mewakili parti politik tertentu. Di sebelah kri Husin kini adalah segolongan makcik perempuan tua yang berjalan berkumpulan, manakala di sebelah kanannya pula adalah sekumpulan pemudi bertudung labuh. Di hadapannya terdaopat dua ke tiga ahli keluarga, lengkap dengan isteri dan anak yang didukung. Husin tidak lagi berasa keseorangan. Husin merasa bahawa perarakan ini benar-benar perarakan rakyat! kalau tidak masakan mungkin kanak-kanak dan warga tua serta wanita bersama-sama turun memenuhi jalan raya seperti ini!
Dan Husin benar-benar takjub, manusia-manusia putih ini, gelombang buih suara hati rakyat ini sedang berarak dengan aman! Bagaimana masing-masing dilihat sedang menjaga tingkah laku masing-masing untuk memastikan hari ini, hari keramat ini berjaya dilakukan dalam suasana yang selamat dan aman. Jika tidak bagaimana sang ibu sanggup membawa sehingga 5 anak-anak kecilnya bersama-sama jika tidak percaya kepada kemanan?
Cuaca pula semakin memesrai kami. Titis manik hujan renyai yang lembut turun melembabkan suasana, menjadikan perjalanan ini benar-benar selesa dan menyegarkan. Husin sekali lagi memerhatikan makcik tua di sebelah kirinya, yang menurut firasatnya berusia lebih dari 70 tahun sudah mula kelihatan lelah akibat perjalanan yang semakin jauh.
Husin dan rakyat kini sedang melalui bulatan di menara Public Bank. Tiba-tiba sepasukan trak FRU dan anggotanya, berjumlah dua buah trak lengkap Water Cannon dan 5 buah trak kecil dengan anggota bertopi merah bergerak laju menuju ke Istana Negara. Husin mula berasa tidak sedap hati. Husin memerhatikan anak di dalam dukungan di hadapannya, anak tersebut kelihatan sekitar 5 tahun. Mengapa FRU dengan traknya bergerak untuk mula menghalangi kami, rakyat sedangkan kami, rakyat sedang bergerak dengan aman?
Tiba-tiba jauh di hadapan, kedengaran bunyi dengan asap tebal merebak merata-rata. Peserta kaget seketika, namun masih tegar bergerak. Kumpulan di hadapan sudah mula berpecah, kelihatan rakyat sedang berlari-lari menyelamatkan diri dari kelonsong gas pemedih mata yang berjumlah sekitar 7 buah semuanya. Namun rakyat masih belum bersurai, pecahan tersbut pantas disambung kembali oleh rakyat. Husin benar-benar terkejut dengan semangat rakyat, walaupun hidungnya mula disengat gas tersebut. Beberapa pemuda melaung dari jauh, agar rakyat kembali mengatur langkah, menyambung perjuangan suci dan murni menegakkan bahasa melawan aparat lacur yang penakut dengan menyembur pemedih gas semata kerana takut dengan kuasa rakyat!